Social Icons

.

Wednesday, November 04, 2015

Cerpen Bolki Setelah Tujuh Tahun

Bolki menyeka manik-manik peluh di dahi ibunya seusai mereka mencabut rumput-rumput kecil yang merenek di keliling sayur sawi. Bolki suka benar sayur sawi, masak tumis atau sup sayur sawi dia tidak pernah kisah. Kegemarannya ialah sawi putih.

Hari masih pagi benar, mentari pagi jua belum muncul, embun yang bersemayam masih terasa saat melangkah ke perkebunan yang ekarnya kecil cuma.

“Mak, Mak... basai uda ayui awi aya!”

“Ya, Bolki. Mama nampak. Kamu kan budak rajin. Pagi, petang kamu siram.” Ibunya senyum. Dia memerhatikan anaknya yang berusia tujuh tahun itu.

Kasihan Bolki. Dia tidak cukup sempurna seperti rakan sebayanya. Anak lain seusianya sudah memulakan minggu pertama persekolahan. Bolki bukan cacat. Bolki cuma tidak dikurniakan deria pertuturan yang normal, tapi dia cukup sifat. Fizikal dan keletahnya sama seperti anak orang lain. Tapi kenapa Bolki?


*****
Tanggal 15 Julai 2007 anakku dilahirkan di sebuah Klinik Kesihatan di Ranau,tiga belas kilometer dari daerah kelahiranku. Ya Allah, terima kasih. Karunia ini terlalu bererti. Tiada yang dapat menandingi rasa kasihku kepada ibunya yang juga isteriku Sahada, yang bergadai nyawa melahirkan cahaya mata penyambung zuriatku. Namun, keberadaanku di negara Brunei Darussalam membuatkan aku sedikit terkilan. Aduhai, dua hari lagi sebelum kepulanganku menemui kalian. Cepatlah berlalu detik-detik di perantauan ini.

Sahada, anak itu akan kita tatang seperti minyak yang penuh. Aku mahu dia jadi orang yang luar biasa seperti pemerintah negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Dia disanjung tinggi oleh rakyatnya dan dimuliakan kerana sifatnya yang mendahulukan agama. Tapi kau harus sebut ‘Yang Maha Mulia’ jika jasadmu menginjak bumi ini kelak, yang terkenal dengan kekayaannya. Bukan kekayaan melimpah-limpah yang aku maksudkan tapi hatinya tulus, tiada galang gantinya. Mungkin aku tidak akan kembali ke negara ini lagi. Aku sudah tidak sabar mahu menyerahkan sesuatu yang kau pernah minta. Yiruma! Rinduku terlakar di setiap alunan piano saat kau pandang tepat ke Gunung Kinabalu.

Aku teringin mengisahkan perjalananku pada coretan ini. Aku khuatir tidak berkesempatan menatap wajah anak kecil kita. Brunei, bukanlah negara besar tapi ia teratur. Kereta yang ada di sini akan berhenti di setiap lintasan pejalan kaki, tapi jika tidak, kau harusswas-was. Kebanyakan orang tua pula aku panggil Haji atau Hajah. Ah, kita mesti hormat dengan penduduk di sini tambahan pula tujuan aku ke sini untuk bekerja. Mereka juga memanggil aku Awang Muqmin. Kalau kamu ada denganku kamulah si Dayang Sahada.

*****
“Apa? Mumin sudah tiada? Tidak mungkin. Dia sudah janji akan pulang hari ini. Kamu bohong!” Sahada racau.

“Ya, Sahda. Allah sudah menjemputnya ketika dalam perjalanan pulang. Kecelakaan jalan raya. Kami tidak mampu menyegerakan kepulangan jasadnya.” Amin, sahabat Muqmin memberi kepastian.

Sahada tunduk. Tangannya berpaut pada sisi pangkin kayu rumahnya. Dia mengangkat kepala lalu melihat anaknya yang tidur di buaian. Anak itu tidur lena.

Rukiah keluar ke beranda dengan curiga tatkala menatap raut wajah Sahada. “Kenapa Amin? Apa yang sudah berlaku?” Pertanyaan dilontarkan.

Mukanya ditolehkan ke arah dua lagi lelaki yang menemani kehadiran Amin disitu, entah siapa mereka dan apa tujuan mereka ke situ.

“Mak cik, maafkan kami. Kami mahu mengkhabarkan berita dari seberang. Anak mak cik...” Amin seperti kehilangan kata. Andai diulang lagi perkhabaran itu, bakal menambah kenestapaan Sahada. Tambahan pula, dia masih dalam tempoh pantang.

“Amin... kenapa nak?” Ibu Muqmin semakin penasaran.

Salah seorang lelaki memegang bahu Amin, seolah memahami keadaan. Hatinya menaakul sendiri, barangkali arwah Muqmin dan Amin sememangnya rapat dari kecil.

“Maaf mak cik. Nama saya Awang Patawari. Sebenarnya, anak mak cik kemalangan. Dia dilanggar sewaktu melintas jalan. Arwah ada...”

“Ya Allah! Muqmin sudah tiada? Sahda....” Rukiah memaut erat tubuh Sahada seraya menghamburkan tangis sedu, dipalingkan matanya ke arah cucunya. Dia bungkam. Sahada hilang dalam alam khayalnya, keluar dari realiti yang mengganggu-gugat benaknya.

“Kami datang untuk serahkan barangan arwah Mumin. Beg duitnya juga kami temui. Barangan yang lain saya akan bawa kemudian, sebab kami mahu menyewa pengangkutan darat. Kami mohon maaf mak cik. Jasadnya sudah disempurnakan, tapi...”

“Nak... terima kasih kerana datang. Eloklah kamu pulang dan sampaikan pada ketua kampung. Malam nanti kita buat bacaan doa untuk arwah.”

“Baiklah kalau begitu. Kami pergi dulu mak cik. Barangan arwah semuanya ada di situ.”Amin mengunjukkan ibu jarinya pada beg dan juga kotak yang terletak di tepi sofa lama yang diletakkan di luar rumah. Di situlah juga tempat Muqmin acapkali duduk setelah mengerjakan kebun sayur bersama arwah bapanya dulu.

“Mak....” Matanya sudah merah, gerak tubuhnya mulai longlai, Sahada mendapatkan ibu mentuanya.

Kini mereka tinggal bertiga sahaja, bersama anak kecil yang belum sempat ditatap oleh suaminya. Bahkan suaminya belum berkesempatan untuk mengabadikan potret bersama anaknya. Bahari pula iaitu bapa mentua Sahada, baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.

*****
Sahada meraup mukanya selepas menunaikan solat. Perkhabaran mengenai suaminya begitu mengusik hatinya yang baru sahaja bergelar ibu. Ajal, siapa yang mampu menidakkan aturan Tuhan. Suaminya sudah pergi. Sudah tiada. Terkilan sanubari seorang isteri kerana suaminya tidak berada di sisi sewaktu melahirkan Arman.

Kotak berbalut surat khabar itu dibuka perlahan. Raut wajahnya berubah. Ada cakera padat, beberapa keping gambar pernikahan mereka dan gambar suaminya berlatarbelakangkan Bandar Seri Begawan. Ada juga dua buah lukisan yang mungkin dibeli atau diberikan oleh sesiapa, dia juga tidak pasti. Beberapa pucuk surat yang tersisip kemas pada buku nota itu juga dibaca. Ayat demi ayat yang ditulis menunjukkan seolah-olah dia sudah tahu masanya untuk dipanggil oleh Yang Esa pada bila-bila masa, bahkan sangat dekat.

*****
Sahada, kerjaku bukanlah seperti yang dikatakan oleh Amin. Dulu katanya, aku mungkin kerja amah, supir, buruh bangunan atau tukang kebun. Bayangkanlah di Malaysia nilai Ringgit, RM2.70 itu bersamaan 1 Dolar Brunei. Aku mahu sekali mengkhabarkan kepada ibu, bapa dan semua bahawa aku ditakdirkan bertemu Haji Jalani. Dia bertanya sama ada aku pernah bekerja sebagai tukang masak. Sudah tentu jawapanku tidak. Mungkin kalian selalu memuji air tanganku yang sedap tapi siapalah aku untuk bekerja di istana di raja. Akhirnya dia menawarkan aku kerja sebagai pembantu dapur.

Bekerja di istana semasa majlis besar diadakan sangat memenatkan. Pernah satu ketika seorang chef tumbang di dapur setelah bekerja empat hari disebabkan kepenatan.  Lenguh, kejang dan melecet jangan ditanya. Aku perlu membantu menyediakan bahan mentah dan peralatan memasak, prosesnya pula bermula dari pagi hingga lewat malam. Jika ayam bakar sebagai hidangan, bertan-tan ayam perlu disediakan. Aku juga mula mengambil tahu apa yang digemari oleh putera sultan mengikut cita rasa mereka. Terkadang, ada permintaan baru yang datang secara tiba-tiba maka chef terpaksa memasang gear lima untuk menyediakan makanan, apatah lagi kami orang bawahan yang hanya mengikut arahan.

*****
“Assalamualaikum....”

“Waalaikumusalam, mak.” Sahada menoleh ke ruang buaian anaknya. Kelihatan ibu mertuanya sudah menggendong cucunya. Cucu yang tidak berkesempatan melihat raut wajah ayahnya.

“Mak, izinkan Sahda menukar nama Arman....”

Kening ibunya naik sedikit. Mungkin terkejut. Dia membiarkan Sahada berada dalam terawangan fikiran sendiri. Arman yang sudah boleh membuka matanya sedikit, seolah-olah senyum. Rukiah turut tersenyum hambar. Ah, berbahagialah kamu wahai cucuku. Bapamu sudah tiada. Akhirnya Rukiah juga turut tewas melayani perasaannya tika itu.

Malam telah lewat benar saat Sahada menyambung bacaannya pada coretan arwah suaminya. Dia terharu kerana Muqmin bekerja keras walaupun tinggal jauh daripada mereka. Kata orang, suami dan isteri yang berjauhan akan timbul banyak masalah di kemudian hari. Namun, suaminya sememangnya rajin, taat kepada kedua ibu bapa malahan selalu cuba untuk menunaikan permintaan sesiapa sahaja.

“Arman, mulai saat ini namamu Bolki... Bolkiah!” Sahada mengucup dahi anaknya. Sebelum Muqmin meninggalkannya untuk berkelana, nama Arman sudah dipilih jika anak dalam kandungannya itu lelaki. Manakala, jika anak yang bakal lahir itu perempuan, mereka sudah sepakat untuk menamakannya Aishah. Sungguh, kerinduan kepada arwah suaminya hanya seperti jarak lima sentimeter dari puncak Gunung Kinabalu, nampak seperti dekat dan boleh digapai namun, sebenarnya sangat jauh dan mustahil.

*****
“Mak, Mak... Mak, ada oyang atang!”

Sahada menyeka air mata yang mula bergenang. “Siapa Bolki?”

Sahada terkejut. Seorang lelaki yang seperti pernah dilihatnya beberapa tahun dahulu berjalan bersama beberapa individu lain yang tidak dikenali. Cuma Amin yang dia kenali.

“Sahada, kau masih ingat pada kami?” Awang Patawari tenang.

Sahada kerut dahi. Dia angguk.

“Maaf jika kehadiran kami mengganggu, tapi Haji Jalani ada hajat ke mari.”

“Dayang Sahada, maafkan kami kerana begitu banyak tahun berlalu belum diberi kesempatan bertemu.” Haji Jalani memulakan bicara.

Sahada cuma tenang, Bolki juga berdiri di sisinya. Tangan anaknya masih terlihat tanah dari kebun.

“Saya bersimpati dengan keadaan kamu sekeluarga. Sebelum ini, saya tidak pernah selidik punca sebenar kecelakaan itu. Kami tidak pernah tahu kejadian sebenar yang menimpa arwah tujuh tahun dulu. Sampailah anak lelaki saya sendiri buat pengakuan... apa yang berlaku disebabkan kecuaiannya. Sekarang dia sangat menyesali kesilapannya. Saya mohon maaf bagi pihak anak saya.”

Hati Sahada seperti dicarik-carik, satu demi satu coretan suaminya bertukar menjadi bait-bait rindu yang menyakitkan. Dia memeluk Bolki erat.

“Beberapa hari sebelum arwah meninggal, dia ada menyatakan hasrat untuk bawa keluarganya ke Brunei.” Haji Jalani tidak berdaya menatap lama wajah sugul di hadapannya. Wajah yang sarat dengan bertahun kedukaan.

“Ikutlah kami untuk menziarahi pusara suami kamu, Sahada. Di sana juga ada pakar perubatan yang mampu membantu masalah pertuturan anak kamu.” Amin memandang Sahada, juga makcik Rukiah, ibu sahabat baiknya.

Pandangan Haji Jalani beralih kepada anak kecil yang masih ralit di sisi Sahada. Dia tersenyum dari tadi, mirip sekali dengan Awang Muqmin. “Anaknya siapa nama?”

“Boki... ya...” tutur anak kecil itu lambat.

“Bolkiah?” Haji Jalani mahukan kepastian.

Sahada mengangguk kecil dan senyum.


TAMAT

No comments:

Post a Comment

LinkWithin



Cool Widgets
 
Blogger Templates