Social Icons

.

Thursday, November 05, 2015

Cerpen Magnum Opus

Magnum Opus’, itu yang tertera di skrin kaca telefon bimbitmu.  Mungkin kau sedang bergumam sendiri memikirkan tawaran yang kau terima. Kata-kata Adrie Juanca juga berlegar-legar dalam kotak fikiran. Semua itu bercampur aduk, seperti memakan sesuatu yang sarat dengan pelbagai bahan. Andai terkurang satu ramuan, maka kurang sempurna menu itu.

Enam bulan lalu...

“Selepas dua hari, kamu boleh keluar dari wad. Apa-apa temu janji boleh rujuk di kad yang akan nurse bagi,” doktor mengakhiri bicara.

Kau dirawat oleh doktor yang berusia dalam lingkungan 40-an. Kakimu yang disimen putih dari hujung kaki hingga ke pangkal paha, ternyata tidak dapat diterima oleh akal positifmu. Kau keliru dan gusar.

Kau terlibat dalam kemalangan, mujur kau terselamat. Allah masih sayangkan nafasmu dan yang pasti usiamu juga masih panjang. Selepas sepuluh kilometer dari rumah, kau menuju ke pejabatmu yang terletak di Pinnacle Quest Commercial Centre, secara tidak diduga, sebuah kereta menekan brek kecemasan apabila lampu isyarat bertukar menjadi merah. Ah, sialan! Di mana letaknya mata pemandu kereta itu? Kau terpelanting sedikit ke hadapan dan dihempap sendiri oleh beratnya motorsikalmu.

Kau tidak sedarkan diri sehinggalah ahli perubatan mencuci luka di kakimu. Kau cuma kaku di situ. Barulah kau rasa sarafmu bagai dikoyak dan dihiris, dengan kesakitan yang kaurasa saat Povidone (ubat cuci luka) ditenyeh ke kakimu. Kau akhirnya bertanyakan pada mereka yang mengelilingimu, “Kenapa aku tak boleh angkat kaki kananku?”

Doktor itu senyum nipis. Kau makin penasaran. Tunggu dulu doktor, jangan khabarkan sekarang padanya!

“Narssimo, kaki kananmu... patah,” saat telinganya mendengarnya, dia terasa kepalanya berpusing-pusing dan pandangannya malap sebentar. Bersikap tenang itu yang kau cuba usahakan, tapi kau sudah tidak selesa. Kaki kananmu tidak akan berfungsi buat masa ini, entah berapa lama, entah juga berapa minggu, mungkin selamanya tidak berfungsi. Kau semakin tidak keruan. Semuanya tidak tenteram. Kelam sekelam-kelamnya.

Setelah dua malam di hospital, kau dibenarkan untuk pulang. Kautelan ludah, saat sahabatmu menolak kerusi roda yang kaududuki. Tenang sahaja perilakunya membantumu memasuki perut kereta Swift TJX miliknya. Kau tidak banyak bicara. Entah mana pergi semua keramahan mulutmu? Kau kata mahu singgah ke balai polis untuk buat laporan, diturutinya juga. Di hadapan rumah sewamu pula, kau minta sebatang rokok Dunhill. Ah, baru tiga hari kau sudah mencari kembali asap yang tidak berkhasiat itu? Bukankah doktor menyarankan agar kau tidak menghisap Nicotiana tobacum, setidaknya sehingga tulang yang patah itu menyambung seperti sedia kala. Entah apa namanya, tibia atau fibula, pengamal perubatan lebih tahu.

Saat kau menelefon orang atasanmu, mereka cuma mengiyakan. Reaksi terkejut ditunjukkan walaupun hanya kaudengar melalui corong telefon bimbit. Sijil cuti sakit yang tempohnya dua bulan kau hantar melalui e-mel. Ah, cuti lagi!

Kau khabarkan apa yang menimpa dirimu pada saudara terdekatmu. Pada merekalah kau bergantung setelah kehilangan ibu, bapa dan adik perempuanmu empat belas tahun dahulu. Ah, kau masih kecil ketika kau bergelar anak yatim. Pakcik saudaramu mengusulkan agar kau pulang ke rumahnya, nanti mereka akan panggilkan tukang urut terbaik. Kau iyakan, tapi hati kecilmu menafikan.

Kau lihat kaki kirimu dalam keadaan baik. Kau bersyukur tapi kaki kananmu telah hilang upayanya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sedaya upaya kau topangkan ketiakmu pada penopang yang diberi oleh sahabatmu. Kau ucap terima kasih.

Balai Polis Subang Jaya menjadi destinasi terakhir sebelum pulang ke rumah. Sahabatmu tetap menemani sehingga laporan selesai dicetak.

*****
“Narssimo, aku fikir kami akan mencari penggantimu buat sementara waktu,” Angelo berkata perlahan. Dia tarik nafas panjang sebelum menyambung kembali bicaranya, “Kau tidak mungkin akan sembuh dalam masa yang singkat. Latihan mesti diteruskan walaupun kau tiada...”

Kata-kata itu membuatkan kau semakin kacau. Kau rindu pada kombinasi kayu Birch, Falkata dan Mahogany yang memuaskan, penuh bulat dan menendang. Walaupun set dram itu kosnya tinggi, namun cirinya yang fleksibel membuatkan kau lekas mahir bermain dram. Kau akur, kau angguk-angguk kepala tanda merelakan posisimu digantikan, padahal air mukamu sudah cukup menampakkan ketidakpuashatianmu.

Tiga minggu berlalu, rutinmu ternyata sama sahaja. Bangun tatkala jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari, kau celikkan mata dan kaurenung lagi kakimu. Ah, bukan kaki tapi simen! Kaurapatkan kedua kaki sehingga kau akhirnya lelah. Setelah puas mata menonton televisyen seharian, kau hantar pesanan ringkas pada sahabatmu, meminta simpati agar dibelikan makanan yang kaugemari, set burger yang dibakar lantas dilelehkan keju dan sos lada hitam.

“Narss, ada kiriman daripada seorang gadis. Barangkali peminat.”

Kau kerut dahi. Kaukata kau tidak menunggu sebarang pos atau bungkusan.

Sahabatmu beri satu kotak kecil dan nota. Kau buka dengan mata cerlung kerana kau mahu tahu segera. Tahap intuisimu sangat tinggi.

“Pelik,” kau letak tepi bungkusan itu dan menggeliat. “Aduh, kaki...” mengeluh lagi lalu berfikir dengan lebih dalam.

‘Kau kejar apa lagi di dalam dunia ini?
Sedang kau tahu masamu tidak lama
Berhenti berlari, bro!
Beri dirimu rehat yang panjang
Nanti suatu masa kau akan kembali
Pada ruang dan dimensi yang lain
Ambillah waktu untuk tafakur
Mengabdi pada Pencipta yang Satu’


*****
Waktu tidurmu selalu dan sentiasa lewat, walau kau tahu tidur itu satu proses penyembuhan. Kadang keluhan dari mulutmu keluar juga. Kau tersisih oleh Frapucinnosisme. Itu nama kumpulan muzikmu. Semuanya idea dan cadangan dari Medulla Oblongata milik seorang lelaki yang bernama Narssimo.

Kau cuba mencari maksud sebenar bait kata Anura. Dua hari lamanya kau selongkar fail digital komputer ribamu. Semuanya bagaikan teka-teki yang perlu dirungkai tanpa bertangguh lagi.

Anura, pelajar jurusan Undang-undang di universitimu juga. Menggemari muzik sama seperti dirimu. Kau terhenti pada perenggan dua yang mencatitkan bahawa, “... koma selama tiga bulan akibat kemalangan jalan raya. Walau bagaimanapun, dia terselamat dan  daya ingatannya serta laporan kesihatan oleh hospital menunjukkan bahawa dia sihat. Dia meneruskan pengajian yang tertangguh disebabkan masalah kesihatan.”

Kau hantar pesanan ringkas pada Anura. “Apa yang kau cuba sampaikan?”

“Tenang,” pendek jawapan Anura.

“Apa?” kau semakin ingin tahu.

“Frapucinnosisme dipelopori oleh orang seperti kau. Kau tunggak mereka, tapi kenapa kau diamkan sahaja? Mereka... aku dengar mereka akan ubah nama itu dan sisihkan kau...”

Kau getap bibir. Kau mahu melampiaskan marah tapi kaki kananmu membataskan pergerakan. Meja di bilikmu menjadi mangsa. Kau hempaskan tanganmu sekuat-kuatnya. Sia-sia, kaki kananmu tidak mampu membawa tubuhmu ke tempat ahli lain memainkan muzik Progressive Rock, atau Classic Rock pada asalnya.

“Sama ada kau mahu tuntut hakmu atau barangkali bersedia untuk meninggalkan mereka...” mesej terakhir daripada Anura kaubaca satu persatu.

Kau berjumpa dengan Angelo, saat itu kau merasakan ibarat kehilangan dua kaki. Penopangmu terasa berat sehingga dua kali ganda. Lagu We Are The Champions yang pernah menjadi halwa telingamu suatu saat dahulu menjadi I Am The Loser. Kata Angelo lagi, pengganti juga sudah ada dan mereka sedang giat membuat persiapan dan latihan.

Kau menghabiskan hari-hari cuti dengan menulis, apa sahaja yang terlintas dalam fikiran. Kau juga sering mengkritik lirik lagu yang kau dengar, skrip drama yang dipertontonkan malah kepetahan pengulas radio dan pengacara program. Secara kasar, kau boleh penuhkan 50 keping kertas bersaiz A4 dengan tulisan tangan. Semua aksara itu kau letakkan di atas meja. Sesetengahnya kautaip dan kaucetak lalu kaulekatkan di dinding kamar. Kau gigih menulis tanpa henti, sehinggakan kau tidak hiraukan makan dan minum bahkan siang dan malam.

Tatkala  kau menerawang di media sosial, kau terlihat ‘Tulis Lirik Lagu’ yang temanya bebas. Kauhantarkan beberapa rangkap lirik yang kau kira mampu menarik perhatian pendengar. Ah, kau juga seorang pendengar! Kau berjaya menggunakan elemen puisi sebagai lirik lagu. Bait-bait lirik itu mendapat reaksi positif daripada juri. Namamu, Narssimo diperkatakan di media sosial. Mereka mendefinisikan ia sebagai viral!

Suatu ketika setelah kau dijemput ke suatu majlis para pengkarya, kau seperti terlihat kelibat Angelo. Di sebelahnya seorang gadis yang kau kenal, ya... Anura! Gadis yang menghantar kotak kecil dan nota itu! Gadis itu kini pengganti pemain dram kumpulan Awakening, itu posisi lamamu selain Lambard, Gynie dan Kenta ketika masih bersama Frapucinnosisme.

Frapucinno itu katamu memang sedap dan meninggalkan suatu rasa sentimental tapi itu hak milik kau. Tukarlah nama ke Mocha, Caramel atau apa sahaja tapi sebab kau pelopor yang mengusulkan nama ini. Maka, tiada siapa yang ada hak untuk menggunapakai Frapucinnosisme. Selamat tinggal kenangan lalu. Selamat tinggal semua.


TAMAT



No comments:

Post a Comment

LinkWithin



Cool Widgets
 
Blogger Templates