Social Icons

.

Wednesday, March 02, 2016

Cerpen: Bukan Begitu, Mak!

Suasana di sekitar rumah Mak Minah agak kecoh. Zahira, anaknya dipinang lagi! Siapa lagi kalau bukan bosnya yang berstatus bujang walaupun umurnya sudah menjangkau lewat 30-an. Katanya, dia selalu makan tengahari dengan Zahira kerana tugasnya sebagai pembantu peribadi memerlukan keberadaannya hampir setiap masa.

Walaupun Mak Minah sudah menjelaskan bahawa anak daranya yang seorang itu bakal melangsungkan perkahwinan apabila mereka sudah bersedia tapi Encik Arman tetap mengambil risiko malu. ‘Malu tapi mahu?’ Hati Mak Minah keliru. ‘Mungkin juga si Arman ni dah buat sesuatu dengan anak aku?’ Hati ibunya diusik-usik dengan fikiran nakal.

“Makcik, saya yakin hati saya ikhlas.” Arman cuba meyakini ibu Zahira.

Zahira yang tidak ada di rumah ketika itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kedatangan majikannya itu. Dia yang berada di pejabat menyangka Encik Arman menghadiri mesyuarat bersama pengarah Mhe-Demag Malaysia. Bersama pemandu khas syarikat, katanya tidak akan berada di pejabat selama dua hari.

“Zahira, mak nak cakap sikit ni.”

“Apa dia mak?” Zahira dekatkan corong telefon bimbit, biar fokus dengan butir perkataan yang bakal ibunya ucapkan.

“Mak nak kau putus tunang dengan Rafiq!” Mak Minah ujar dengan selamba.

“Mak, kenapa tiba-tiba buat keputusan?” Terkejut, suaranya ditinggikan sedikit.

“Kau dengan Rafiq tu dah lima tahun tunang. Sampai sekarang tak kahwin! Sampai bila lagi mak nak tunggu kau bersedia?” Butir peluru dimuntahkan laju, tanpa jeda.

“Tapi mak...”

“Mak nak kau terima pinangan Encik Arman, bos kau.”

“Bos Ira?” Zahira terkejut. Kepalanya terasa seperti dihempap batu besar. Seluruh jiwanya lemah.

“Meen, kau tahu tak?” Zahira mula meluah kepada sahabatnya.

“Apa?” Meen pandang tepat muka Zahira.

“Mak aku suruh kahwin dengan Encik Arman? Gila ke apa orang tua tu?” Lantas dia sedut jus oren yang dia pesan sebentar tadi.

“Bos kau?”

“Ya, Meen. Serius. Mak aku guna alasan Rafiq yang tak serius nak kahwin. Padahal... semua ni salah aku. Apa patut aku buat, Meen?”

“Fikir baik-baik, Zahira. Kau kena fikir masa depan kau sendiri. Bukan semata-mata mengikut kehendak mak kau. Kau pun tahu kau tak suka Rafiq atau Arman.”

“Masalahnya mak aku bagi tempoh seminggu untuk buat keputusan!” Zahira menambah butir bicara. Matanya kini ditumpukan pada dua kanak-kanak yang sedang makan.

‘Mak nak timang cucu...’ Akhirnya Zahira buat kesimpulan.

Zahira sedut nafas dalam-dalam, kemudian dia hembus semahunya. Dia kesal dengan ibunya, hendak dilawan nanti jadi derhaka.

Tanpa diketahui oleh majikannya, Zahira mengambil keputusan untuk bercuti.  Bukan satu hari, dua hari, tiga hari, empat hari tapi lima hari... maksudnya satu minggu! Walaupun belum diluluskan, dia bawa diri ke Pulau Mutiara, Langkawi seorang diri. Encik Arman tidak menyangka Zahira akan bertindak demikian.

Zahira tiba di tanah yang juga dikenali sebagai Permata Kedah pada pukul 5 petang. Lantas dia menuju deretan kaunter yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa. Sememangnya mudah sahaja untuk mencari kereta sewa di sana, baru keluar dari kapal terbang berpusu-pusu pengusaha teksi datang ke arah bakal penyewa atau pelanggan.

Kereta yang dipandu menuju ke sebuah hotel berdekatan Pantai Cenang yang dia sudah tempah sehari sebelum itu. Zahira nekad untuk mencari ketenangan walaupun sedikit untuk dirinya sendiri. Baginya, hanya dirinya yang dapat mencari jawapan terhadap semua persoalan yang berlingkar dalam hatinya.


Hari telah senja sewaktu Zahira keluar ke balkoni tempat dia menginap. Dia menikmati hembusan bayu segar dan panorama matahari terbenam. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak yang ditemani ibu bapa mereka masih ralit mandi air laut. Tidak kurang juga yang yang bermain istana pasir. Mata Zahira bercahaya, seolah digenangi air.

Selesai menunaikan solat Maghrib, Zahira hidupkan enjin kereta sewa. Dia mahu mencari makanan untuk mengisi perutnya yang lapar. Kedai makanan melayu yang mempunyai pilihan makanan laut menjadi pilihan hati Zahira. Ikan pari bakar bersaiz sederhana menepati seleranya.

Excuse me, can I sit here?” Zahira meminta kebenaran seorang lelaki berkulit putih untuk duduk semeja. Meja lain tampaknya sudah penuh, dia tak mahu tunggu lama.

Yes, boleh. Please.” Lelaki bermata biru dan berambut perang kerinting itu senyum dan mempersilakan Zahira.

Zahira duduk dengan tenang sambil membelek pesanan di WhatsApp yang masuk bertalu-talu. Ada mesej daripada ibunya, rakan sepejabatnya, Meen, Rafiq dan Encik Arman. Selepas hidangan yang dipesan tiba di meja, dia pun makan tanpa mempedulikan orang sekeliling.

Miss, you’re alone? Saya fikir kamu tunggu kawan.” Lelaki berbaju T-shirt berlogo Pantai Cenang itu bertanya.

Zahira tersentak. Dia malu tiba-tiba. Dia renung wajah lelaki itu. Cukup beberapa saat dia bertanya, “Awak boleh cakap Melayu?”

“John. Not really, sikit-sikit only...” dia hulur tangan.

“Maaf.” Zahira buat isyarat yang dia tidak boleh hulur tangan.

Oh, sorry.” John malu. Waktu itu dia sudah siap makan. Dia kini teguk air Sarsi dari botol kaca.

I’m Zahira. Self-travel.” Ringkas sahaja dia memperkenalkan diri. Dia teruskan makan dengan penuh selera.

Okay, here’s my card. I’ll be going now” John hulur kad namanya yang ringkas. Tertulis di situ Vintage Book Garage beserta alamat dan nombor telefonnya.

Zahira letak tepi kad itu. Dia teruskan makan sambil melihat gelagat orang ramai. Ulasnya dalam hati sekarang tak begitu ramai pelancong tempatan sebab bukan musim cuti sekolah kecuali pekerja dan beberapa pelancong lain. Dia teliti juga setiap inci wajah mereka manalah tahu ada yang kenal dirinya.

Niat mengelilingi pasar malam diteruskan apatah lagi selepas terlihat ‘mamat’ yang sama di sebuah lot kedai. ‘Oh, itulah agaknya kedai buku yang dia maksudkan tadi!’ Hatinya bergumam. Ditujukan langkahnya ke arah rakan semejanya makan sebentar tadi. Dia gelak kecil.

Hi, John!” Ramah Zahira menegur. Dia pelik dengan karenahnya sendiri. ‘Aku datang sini dengan hati yang berduka lara bukan penuh suka cita untuk tegur orang tak dikenali.’ Zahira mengingatkan dirinya.

Hello. Mahu beli buku?”

Wandering around.” Zahira jawab.

Zahira pusing-pusing ruang kedai itu. Kebanyakan buku berbahasa Inggeris dan agaknya sudah lama terbit. Bau harum buku vintaj klasik memasuki rongga hidungnya. Dia nampak juga koleksi buku sastera William Shakespeare yang dia pernah pelajari sewaktu di Tingkatan Enam. Ada juga buku Jane Eyre karya Charlotte Bronte. Matanya kini memandang gambar-gambar seorang wanita muda yang cantik, banyak dibingkaikan di dinding kedai.

That’s my late fiancee. She involved with a tragic accident three years ago in this land.” Tanpa dipinta, John berkisah mengenai tunangnya. Tambahnya lagi, dia akan pulang ke Australia setiap tiga atau enam bulan untuk menziarahi keluarganya. Dia tidak mahu roh tunangnya keseorangan. Menurutnya, kemalangan tragik itu menyebabkan tubuh badan tunangnya digilis sehingga hancur. Hanya cebisan yang dapat disemadikan.

Well. That’s my part. Kamu pula?”

I ran away.” Zahira kemudian ketawa kecil. Dia ternampak satu kerusi kecil dan duduk di situ. Akhirnya, dia luahkan perasaan dan kekecewaannya terhadap lelaki bernama John. John juga aneh, dia dengar kisah Zahira dengan tekun. Nampaknya John juga berminat dengan kisah sebegitu.

Well, you need to choose well...  if you can’t follow your mother’s wish, you need to talk with her. Jangan lari dari rumah. Jadi budek baik.”

“B U D A K. Not budek.” Zahira ketawa.

Zahira meninggalkan Vintage Book Garage dengan hati yang lega. Dia keluar dengan nekad untuk beritahu apa yang ada jauh di kedalaman hatinya. Malam itu juga dia telefon ibunya dan meminta maaf. Dia senyum.


TAMAT

No comments:

Post a Comment

LinkWithin



Cool Widgets
 
Blogger Templates