Social Icons

.

Wednesday, March 02, 2016

Cerpen Kerana Tinapung [RAW]


2001, sebuah perkampungan yang masih belum mengalami modenisasi...
“Aria, kamu sudah siap?” Rufina bertanya kepada anaknya yang berada di dalam bilik. Dia duduk di tepi meja makan sambil merapikan kuih yang bakal dijual oleh anaknya.
“Bah, ama. Saya mahu jalan sudah.” Betharia mencapai bakul berwarna merah yang berisi kuih tinapung yang ibunya sediakan. Dia tahu dengan hasil jualan itulah yang menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
“Hati-hati nak. Kalau tidak habis kamu bagi saja dengan kawan-kawan kamu.” Lembut tuturan seorang ibu. Dia mengambil pula parang yang bersarung dan disisipkan di pinggang dengan kemas. Bekal makanan yang telah disediakan seawal jam 5 pagi dibawa bersama.
Betharia pula sudah meninggalkan rumah usang mereka dengan hati girang. Dia tahu jualannya akan habis kerana sudah ramai rakannya yang membuat tempahan secara lisan. Walaupun ada juga yang mengejeknya, tapi dia tidak peduli. Tak apalah. Niatku cuma mahu senangkan mama.
“Beth, ada tinapungkah? Bagi saya dua tinapung yang paling sedap di dunia,” Eliza menyapa Betharia.
“Aduh, maaf. He he, macam biasalah mesti ada!” Kepalanya seperti digaru walaupun tidak gatal. Dia mengunjukkan kuih yang ada di dalam bakul. Saiz bakul itu tidaklah terlalu besar dan kuantiti jualan juga tidaklah terlalu banyak.
“Kuih yang mama kamu buat ni memang sedap. Pisang dicampur tepung dan gula kemudian direbus, mesti ramai yang sukakan? Tapi... saya kasihan tengok kamu berjualan setiap hari. Kamu tak penatkah?” Mereka jalan beriringan menuju ke sekolah.
“Saya mahu tolong mama saya, Za. Masa saya pergi ke sekolah, dia ada di kebun. Tanam pisang dan sayur.” Betharia menjawab perlahan.
“Oh, begitu. Tak apa, Beth. Saya yakin niat kamu baik. Eh, saya gerak dulu pergi kelas saya. Hari ini kami PJK awal, kena ganti baju,” Eliza menambah. Pada masa yang sama, kedua-dua kuih tinapung yang dibelinya sudah habis dimakan. 
                                                  *****
Sekolah Menengah Penengah telah tamat sesi persekolahan pada pagi hari ini. Kelihatan pelajar sesi petang sudah memasuki kelas mereka. Di sebuah pondok, Eliza dan rakannya sedang membaca buku. Barangkali ada ujian pada keesokan hari.
“Meen, kau kenalkah budak yang jual kuih itu? Selalu dia akan bawa bakul merah yang berisi kuih tinapung.” Eliza memulakan perbualan.
“Oh, budak kelas 3A kan? Kenal. Saya pernah beli kuih dengan dia. Murah dan dijamin sedap. Kenapa?” 
“Tak ada apa, cuma kasihan. Saya dengar dia dan ibunya tinggal berdua selepas ditinggalkan oleh bapa. Bapanya ada perempuan lain...”.
“Hissssh, jangan kuat-kuat bah!” Pantas Meen menegur.
“Hai, belum balik lagi ni dua orang sumandak? Bergosipkah?” Cikgu Anita kebetulan lalu di belakang tempat mereka duduk.
“Mana ada bah cikgu. Cikgu, saya nak minta pendapat bolehkah?” Spontan idea keluar dari mindanya.
“Apa dia Eliza?” Cikgu Anita kini duduk.
“Pelajar sekolah kan tidak dibenarkan menjual, tapi ada pelajar kelas 1A...”
“Menjual?”
Belum sempat Eliza menghabiskan kata-katanya, sudah dipotong pula oleh guru mereka.
“Ya, cikgu. Kami tahu niatnya baik tapi takut akan mengganggu pembelajaran pula.” Eliza dan Meen mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiyakan.
“Tak apa. Nanti cikgu bincang dengan guru kelasnya. Mana tahu kita boleh tolong dia.”
Keesokan harinya, Betharia dipanggil oleh Cikgu Limudin ke dalam bilik guru. Dia bertanyakan mengenai hal demikian dengan cara berhemah. Rupanya, para guru sepakat untuk membenarkan dia meletakkan semua kuih jualannya di kantin sekolah tanpa membayar sewa. Dia bersyukur kerana tidak didenda.
“Ama, mulai esok cikgu benarkan saya untuk letak kuih jualan di kantin. Mereka bilang dengan cara itu pelajaran saya tidak akan terganggu.” Betharia memberitahu ibunya selepas makan malam yang ringkas.
Puan Rufina yang sedang memotong daun pisang yang diambil sebelum hari gelap tadi memandang satu-satunya wajah anaknya dengan penuh minat. Ibunya sangat mahir memilih daun pisang yang akan dijadikan pembungkus tinapung.
“Betulkah Aria? Berapa pula bayarannya?” Ibunya senyum nipis, tanda syukur.
“Tidak payah bayar, mak. Baik hati kan cikgu sekolah sana. Oh ya, mak. Apa maksud rom... bi... tuon?” Betharia bertanya lagi. Tangannya memegang pen, bersedia untuk menuliskan maksud perkataan itu di buku notanya.
Rombituon? Rombituon kan maksudnya... bintang.”
“Oh.. terima kasih mak. Kalau saya sudah besar nanti, saya mahu jadi orang yang berjaya mak. Berbudi pada semua orang. Jangan risau, mak... kebun kecil itu akan bertambah hasil, berpuluh kali lipat. He he he...”. Tiba-tiba semangatnya muncul. Dia menyimpan keinginan untuk fokus pada pelajaran sepenuhnya. Buku Sains Pertanian dibaca dengan penuh minat, adakalanya dia senyum sendiri. Dia tidak sedar tertidur sehingga dikejutkan ibunya supaya masuk ke bilik.
Rutin menghantar bakul berisi kuih dan mengambil semula bakul berlanjutan selama dua tahun. Jarang sekali kuih tinapung tidak habis dijual. Betharia sememangnya seorang pelajar yang pintar di sekolah. Sejak tinggal berdua bersama ibunya, dia sudah mula belajar untuk berdikari.
Sewaktu berada dalam kelas Sains Pertanian, dia selalu membayangkan kebun yang letaknya berdekatan rumah mereka dipenuhi bermacam jenis sayur dan buah. Cikgu Kendy selalu berpesan, “Pertanian juga boleh menjadi salah satu bidang kerjaya kamu pada masa akan datang. Kamu jangan ingat bercucuk tanam atau bertani tidak memberi keuntungan lumayan.”
Selepas pulang dari sekolah, dia terus  menuju ke tempat ibunya berehat pada waktu tengah hari.
“Ama, saya ada satu cadangan,” dalam keadaan mengah dia mendapatkan ibunya.
“Kamu ni Aria. Kalau iya pun, tukarlah dahulu pakaian. Apa dia yang kamu mahu beritahu?” Ibunya bertanya. Tuala kecil yang disangkutkan di ranting pokok kecil digunakan untuk mengelap peluh di dahi.
“Begini, mak. Kita buat tanaman fertigasi. Cikgu di sekolah cakap, kita boleh minta bantuan di Pejabat Pertanian untuk modal. Lagipun pisang yang kita tanam ambil masa tiga hingga enam bulan untuk matang.” Betharia menerangkan dengan panjang lebar.
“Fer... gasi tu macam mana, Aria? Kosnya pula bagaimana?”
“Fertigasi bah, mak. Cara ini akan siram tanaman secara automatik. Tidak payah angkat air untuk siram. Sekali-sekala sahaja kita perlu baja dan tengok keadaan tanaman.”
“Jadi apa yang kamu fikir untuk tanam?” Rufina menunjukkan minat. Dia yakin anaknya mempunyai kemahuan untuk melaksanakan perkara itu.
“Paling ngam tanaman berbuah dan berbunga. Contohnya, timun, lado (merujuk pada cili), terung dan tomato. Strawberi pun boleh mak!” Hati Betharia berbunga riang. Dia tidak sabar untuk melihat semua itu menjadi kenyataan.
“Strawberi? Betulkah? Macam-macamlah kamu ni, Aria. Baiklah yang penting kamu tidak lupakan kerja sekolah. Tahun ini kan kamu ada PMR.” Rufina bertutur lembut. Mereka bergerak menuju ke rumah untuk makan tengah hari.
“Ya, mak. Janganlah risau. Ama, duit jualan tinapung ada dalam bakul tu. Cikgu-cikgu di sekolah suka makan. Mereka cakap macam energy bar.” Perbualan dilanjutkan.
“Benarkah Aria? Macam coklat?” Dahinya dikerutkan. Lalu dia ketawa kecil. Nasi disenduk dari periuk dan mereka makan bersama.

Sumber: Google Image

                                                *****
 “Puan Rufina, sebenarnya tanaman fertigasi ini tidaklah rumit, senang dan mudah, cuma kita perlu berani,” pegawai di Pejabat Pertanian menerangkan dengan lebih lanjut.
Puan Rufina angguk kepala. Dia menandatangani borang pinjaman yang sudah diluluskan untuk memulakan projek fertigasinya walaupun sebenarnya dia tidak faham. Dia terfikir kalau bukan disebabkan anaknya, Betharia, dia tidak mungkin berada di situ.
“Baiklah, sekarang Puan boleh ikut Cik Rohana ke bilik latihan. Penerangan itu akan mengambil masa selama tiga jam. Seperkara lagi, pegawai dan pekerja dari sini akan datang ke kebun Puan esok. Proses pemasangan mungkin mengambil masa satu atau dua hari. Pemantauan akan dibuat dari masa ke masa, begitu juga latihan.”
“Ya, Tuan. Terima kasih atas pertolongan tuan.” Puan Rufina menjawab lalu meninggalkan bilik Encik John dengan hati lapang.
Dua hari kemudian, kebun pisang Puan Rufina sudah berubah. Paip yang akan menyalurkan air pada sayur yang bakal ditanam hampir siap diselenggara. Pada hari Sabtu, Betharia juga akan turun ke kebun untuk melihat tanaman yang dia sendiri jaga.
“Ama, boleh tahan juga kebun kita sekarang, jadi sayur apa di bahagian sini?”
“Encik John tu cakap kita cuba empat jenis tanaman dulu. Cili, tomato, terung dan timun. Tanah 4 ekar inilah yang akan kita jadikan modal pusingan, Aria.”
“Strawberi?” Betharia ketawa. Hatinya suka.
“Ish, kamu ni. Tunggu tanaman lain ni bagi pulangan. Nanti tiap bulan pegawai latihan akan datang melawat. Jangan lupa, Aria. Kamu sajalah yang akan tolong mak siram semua sayur tu.”
Ha ha! Paip kan ada mak... automatik siram,” sambil jarinya menuding kawasan sekeliling.
Puan Rufina senyum, lalu tertawa.
“Cili kalau dijual harganya sekitar RM8 dan boleh mencecah RM15 setiap 1 kilogram, mak. Kalau ikut standard, satu ekar boleh dapat 4000 beg. Kalau pokok tiada penyakit pula boleh dapat hasil 5 atau 6 kilogram.” Betharia mula mengeluarkan hasil pembacaannya daripada buku Sains Pertanian.
“Aria...” airmata ibunya seolah bergenang.
“Kenapa, mak?” Pertanyaan dilontarkan.
“Tiada apa-apa, kamu ni budak rajin dan baik, Aria. Mama suka tengok kamu semangat untuk buat semua perkara. Jual tinapung pun kamu sanggup. Kalaulah...” Puan Rufina bungkam.
“Ama, janganlah sedih. Saya pasti akan belajar bersungguh-sungguh. Mari kita pulang sekarang. Saya pun lapar sudah ni...”.
Mereka meninggalkan kebun yang seolah diberi nafas baru itu. Daun pisang melambai perlahan seperti mengiyakan kehadiran beg polimer yang jumlahnya beratus-ratus itu.

“Betharia!” Cikgu Limudin memanggil namanya selepas masa persekolahan.
“Ya, cikgu. Ada apa saya boleh bantu?”
“Tiada apa-apa. Eh, betulkah ibu kamu sudah menuai hasil pertama projek fertigasi kamu? Cikgu Limudin nyata ingin tahu.
“Betul, cikgu.” Betharia sedikit kehairanan.
“Kalau tidak keberatan boleh kamu bawa cikgu melawat kebun kamu?”
“Boleh, tapi cikgu tunggu dulu sebab saya mahu ambil bakul jualan di kantin.” Aria menjawab.
“Baiklah, cikgu tunggu dekat parkir guru. Kita naik kereta.”
Cikgu Limudin meletakkan kereta Proton Saga FLX berwarna putih di hadapan rumah Betharia. Dia kemudian menggantikan kasutnya kepada selipar yang diambil dari but kereta. Lengan bajunya kemudian disingsing lalu menuruti langkah Betharia. Jarak ke kebun cuma 40 meter. Satu perkebunan yang menarik kini ada di hadapannya.
“Cikgu, inilah kebunnya,” Betharia menoleh ke arah Cikgu Limudin.
“Ya, boleh tahan juga. Mak kamu mana?” Dia meneliti cili merah yang tumbuh dengan banyaknya.
“Mungkin ada dekat sulap...” Langkah diteruskan.
“Ama, Cikgu Limudin datang.”
Puan Rufina yang memakai topi dan kain sarung yang dililitkan di kepala melihat ke arah susuk tubuh guru lelaki itu. Dia merenung ke muka guru itu sesekali melarikan anak mata ke arah tomato yang sudah dipetik bersama Auntie Edina dan anaknya, Elesia.
Rufina... kau tahu, suatu hari nanti aku akan kembali ke daerah ini. Aku mahu mendidik anak bangsa supaya mereka tahu apa ertinya perjuangan dalam kehidupan. Aku juga tidak tahu sama ada aku berjaya untuk merintangi cabaran di seberang laut. Kata-kata itu seperti kedengaran dalam kotak minda Puan Rufina.  
“Luto?” Rufina bertanya. Suasana hening.
“Ya, aku Limudin. Aku tidak tahu kau ibu kepada Betharia. Pelajar yang sangat baik dan pintar. Kau bertuah mempunyai anak seperti dia.” Limudin tenang.
“Kau rupanya guru kelas mereka? Bagaimana kau tahu...” belum habis ayat itu, dipotong pula oleh Cikgu Limudin.
“Aku, kan guru kelas dia.”
Betharia pula sudah duduk di sebelah Elesia, berbual mengenai rutin seharian. Elesia yang tua tiga tahun daripadanya sedang menunggu tawaran utuk menyambung pengajian.
“Rufina!” Suara Cikgu Limudin sangat lantang. Auntie Edina, Elesia dan Betharia bingkas bangun menuju ke arah suara itu.
“Aria...” hanya itu yang mampu dituturkan oleh Betharia.
 “Ama!”
Mata Rufina terpejam rapat.

Ama, kalaulah ama masih ada... kan siok. Sepatutnya ama yang dapat award ni...” gambar sewaktu Aria di Tingkatan 3 ditatap. Matanya dialihkan pada gambar strawberi yang berjaya ditanam seluas 2 ekar. Walaupun sedikit, hatinya puas.
“Penerima Anugerah Tokoh Inovasi Peladang Muda 2008 Negeri Sabah, dijemput Cik Betharia Limudin naik ke atas pentas dan memberikan sedikit ucapan.” Pengerusi majlis bertutur dengan lancar.
Betharia bangun. Dia mengukir senyum kepada bapa angkatnya, Cikgu Limudin yang telah membantunya dalam semua hal sejak ketiadaan Rufina.
“Terima kasih pengacara majlis. Saya berbesar hati kerana diberi kesempatan berucap pada hari ini. Kejayaan saya banyak dibantu oleh bapa saya, Encik Limudin dan juga pekerja yang sama-sama berganding bahu... Auntie Edina, Elesia... terima kasih. Saya masih ingat bagaimana subjek Sains Pertanian di sekolah menengah memberi idea kepada saya. Masa itulah, saya usulkan kepada mendiang ibu... Puan Rufina. Kalau bukan kerana tinapung, mana mungkin saya berani seperti hari ini. Terima kasih.” Selesai ucapan Betharia, seisi dewan memberikan tepukan gemuruh.
Edina, sebelum balik rumah jom singgah kebun Tina’.” Idea dilontarkan spontan.
“Eh, buat apa?” Edina bertanya.
“Ambil strawberilah. Malam ni kan hari lahir bapak. Tinapung sudah, lagi kek strawberi dan jus strawberi belum. He he.” Betharia senyum.
“Aria, Aria... kau memang bijak dan rajin.  Terima kasih sebab bagi kami peluang kerja.”
“Ala... lagipun saya tahu kau lagi champion pasal marketing. Satu Borneo sudah kenal Tina’s Farm.”
Mereka berdua senyum dan berlalu pergi dengan semangat berkobar-kobar.


TAMAT


Glosari
Lado – lada/cili
Siok - seronok
Sulap - pondok
Tinapung – lepat pisang; kuih diperbuat drp pisang, tepung dan gula (atau tepung dan pisang sahaja) lalu dibungkus menggunakan daun pisang
Tina’s Farm – ‘tina’ merujuk kepada ibu dalam bahasa Dusun


No comments:

Post a Comment

LinkWithin



Cool Widgets
 
Blogger Templates