Social Icons

.

Tuesday, June 21, 2016

Bapa Yang Kekal


Tahun 2016 menyaksikan Hari Bapa Sedunia disambut pada tarikh 19 Jun yang lalu. Kepada bapa saya yang terkasih (RA – sekadar meletakkan pangkal huruf) selamat Hari Bapa, ikhlas daripada anak sulung yang memilih untuk menyambung hidup di rantau orang.

Sebenarnya, bapa sudah beberapa kali menyeru secara halus untuk diri ini berpindah fizikal, namun di mana dayaku. Saya juga tidak tahu. Tiga tahun selepas pengajian di universiti, nampaknya anak yang keras kepala dan degil ini masih tidak beroleh rezeki di negeri sendiri. 

Usia bapa sudah melewati 50-an, uban sudah kian rancak menumbuh cuma bapa bijak menyembunyikan dengan cecair penghitam rambut yang luar biasa. Jadinya, bapa nampak kuat seperti hari-hari gagah dan perkasa semasa berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia.

Kata orang, bapa lazimnya tegas. Ya, bapa kami (tujuh beradik yang mendukung nama bapa di belakang) sememangnya penuh dengan etika disiplin. Pantang kami berpura-pura lembik, pantang melihat kami bersenang-lenang di pangkin rumah tanpa berbuat apa-apa, apatah lagi menghabiskan masa dengan telefon bimbit atau menghadap televisyen sepanjang hari!

Awalnya, bapa sangat pengasih. Beliau sangat mementingkan kerja perkeranian beliau, sebab itu beliau mempunyai rekod kerja cemerlang. Bayangkanlah bapa sanggup berpindah negeri untuk mencapai pencapaian tertentu, yang pasti kami berpeluang untuk bersekolah di SK Si-Rusa, Port Dickson. Zaman kanak-kanak di sana mengajar saya untuk lagi peka dan berinteraksi dengan kaum lain. Hidup dikelilingi para askar muda yang saya tidak layak untuk ikut jejak disebabkan faktor ketinggian.

Kalau berbicara mengenai orang tua, yakni bapa, berbicaralah dengan sebaiknya. Sekalipun bapa pernah memukul atau mencederakan anggota tubuh badan walaupun alasan mereka tanpa sengaja kerana stres, tetaplah menghormati mereka.


Sejujurnya, saya menghormati bapa saya yang pernah memberi kesempatan untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Ada banyak hal lagi sebenarnya, tapi tidak mampu dikeluarkan buat tatapan kalian. Seorang bapa, adalah bapa untuk selamanya. Bapa adalah bapa yang kekal, sama seperti ibu, ibu juga ibu yang kekal. Semoga kita lebih menghargai bapa sendiri. Sekiranya bapa kita sudah tiada di dalam dunia ini, doakanlah roh mereka. Para bapa, anda insan yang menjaga dan melindungi ibu kami, kami percaya tempat anda sama tingginya dengan manusia-manusia yang layak untuk ditinggikan darjat.

Google Image

No comments:

Post a Comment

LinkWithin



Cool Widgets
 
Blogger Templates