Social Icons

.

Friday, July 08, 2016

Jatuh Cinta Lagi?


Saya tertarik untuk membicarakan tajuk ini. Konteksnya, bagi manusia yang berpasangan, yakni suami-isteri, dua insan yang mempunyai ikatan halal dan sah. Bagi mereka yang baru bergelar boyfriend-girlfriend, boleh baca untuk panduan pada masa akan datang.

Kata orang cinta itu buta. Pada zaman globalisasi seperti saat ini, manusia berkahwin bukan sekadar menurut perintah Tuhan agar bertambahnya umat manusia tapi juga didasari oleh pelbagai sebab lain. Contohnya, sebab si anu kacak dan cantik, sebab si polan kaya dan bergaya, si dia mempunyai pekerjaan tetap dan bermacam-macam lagi yang hanya kita sendiri tahu. Biasalah, orang lain yang berkahwin, kita yang melihat dari luar hanya mampu mengkritik, kalau kritikan positif tidak mengapa, kalau sebaliknya? Alahai, manusia.

Lalu manusia pun berkahwin. Si teruna dan dara gembira bukan kepalang, itupun kalau perkahwinan suka sama suka. Kalau kahwin paksa, redhalah hati menanggung lara. Usia perkahwinan akhirnya bertambah sikit demi sikit, demikian juga umur bertambah hari demi hari. Tinggallah kita menghitung masa yang berbaki di dunia. Masa yang kita tidak tahu berapa bakinya itulah kita patut guna dengan sebaiknya. Perkahwinan bukan barang mainan, bukan sesuatu untuk dijadikan bahan eksperimen. Sebab itu, ada baiknya belajarlah dahulu mengenai personaliti dan latar belakang pasangan.

Persoalannya, mengapa manusia jatuh cinta lagi? Walhal sudah berkahwin, cuba jadi setia pada yang satu. Masa berlalu, mereka mungkin tidak sekacak atau secantik dahulu, mereka mungkin tidak sekaya atau banyak wang seperti dahulu dan mereka mungkin tidak sebaik layanan makan, minum dan hal di tempat tidur seperti awal mula perkahwinan, tapi tetaplah jaga batas. Kau kata kau bosan, hanya mahu berkawan, hanya mahu menghabiskan masa lapang dengan bersembang kosong. Lama-lama, jatuh sayang, jatuh cinta, jatuh rindu sehingga semua kausanggup lakukan demi perhubungan terlarang itu.


Ah, semuanya bermula daripada sikap kita sendiri. Tetapkanlah niat dan teguhkanlah iman. Nescaya, kita tidak tergelincir dari landasan yang benar. Apa pun, jika sudah sedar akan kesilapan, kembalilah ke jalan asal. Beringatlah pada tanggungjawab masing-masing. Selagi namanya manusia yang bernafsu, kita tidak mampu menafikan perasaan yang satu itu.

Google Image

No comments:

Post a Comment

LinkWithin



Cool Widgets
 
Blogger Templates